Tuesday, 23 April 2019

Bab 2.5
Langkah kelima:

Biarkan titik-titik bedak itu kering sebentar sebelum di jemur di luar di bawah matahari. Hiris daun pandan halus-halus dan taburkan ke atas bedak yang sedang dijemur. Biar seketika dan kemudian campurkan bedak bersama daun pandan yang sudah hampir kering.

Cantik kan titik-titik bedak sejuk? Macam mutiara lagaknya. Bulat dan kecil. Umi Alya suka tengok bedak sejuk ini walaupun memang lenguh tangan menitiknya. Jika kepekatan yang dibancuh betul, bedak akan mudah berbentuk. Jika cair ia tidak akan membulat seperti di dalam gambar. Umi Alya suka buat kecil-kecil sebab nampak comel tetapi ada pelanggan yang suka bentuk yang lebih besar. Apa jua bentuk yang di minta akan Umi Alya penuhi. Jangan risau ya...

Bab 2.6
Langkah keenam:

Ini bahagian terakhir proses membuat bedak sejuk. Ambil sedikit bedak sejuk yang sudah kering ke tapak tangan. Jumlah bedak tidak kiralah banyak mana. Jika nak buat masker biar ambil banyak. kalau hanya hendak dijadikan bedak, ambillah sedikit saja. Campurkan dengan sedikit air paip atau air mawar jika inginkan wangian mawar, dan sapukan ke muka. Tepuk-tepukkan lembut sedikit ke wajah agar bedak masuk ke dalam pori-pori kulit. Biarkan kering.

Jika hendak membuat seperti 'scrub' bolehlah digosokkan secara perlahan-lahan dengan dua jari semasa bedak masih lembap. Gosok ke serata muka sehingga habis bedak-bedak yang ada di muka itu. Basuh dengan air biasa dan lap kering muka. Kita akan dapat merasakan muka lebih bersih dan segar.

Sekiranya bedak dijadikan masker, Umi Alya ingin mengingatkan semasa hendak membasuh bedak masker, gunalah air biasa sahaja. Jangan di campurkan sabun muka ketika membasuh bedak. Umi Alya takut akan ada tindakbalas antara bedak dan sabun nanti sehingga menyebabkan wajah terasa gatal-gatal dan kemerahan.

Selamat mencuba bedak sejuk keluaran Umi Alya yang semestinya suci dan bersih tanpa pengawet. Semoga wajah anda licin dan mulus serta awet muda selalu. In shaa Allah... Mulakan dengan Bismillahhirrahmanirrahim dan disudahi dengan Alhamdulillah.

Panduan asas bedak sejuk

Bab 1
Pengenalan bedak sejuk

Wanita dan kecantikan memang sinonim, tidak boleh dipisahkan. Setiap wanita tidak kira pangkat dan umur memang sentiasa ingin kelihatan cantik dan menarik. Tidak kira untuk pandangan siapa pun yang penting hati rasa tenang dan bahagia bila kulit wajah mulus tanpa noda. Pelbagai kaedah dan petua turun-temurun digunakan untuk mengekalkan kecantikan semulajadi. Bedak sejuk amat jarang digunakan terutamanya dalam persekitaran masyarakat moden sekarang. Anak muda zaman sekarang lebih suka memiliki krim berjenama dari luar negara ataupun keluaran dari artis-artis terkenal. Lebih mahal harganya sudah tentu lebih canggih hasilnya. Namun tidak semua orang berkemampuan untuk memiliki barangan mahal dan bermutu itu.

Selama Umi Alya berniaga bedak sejuk ini dan berinteraksi dengan para pelanggan, ramai yang agak menyesal menggunakan produk moden. Tidak semua mendapat hasil seperti yang digambarkan. Ini kerana kulit wajah kita amat berbeza. Satu perkara yang penting produk asli adalah tanpa bahan kimia. Apa sahaja yang asli memang sesuai untuk kita. Bedak sejuk adalah dibuat seratus peratus dari bahan asli. Gunalah tanpa was-was. Cara pemakaiannya memanglah tampak begitu comot. Memang amat memalukan untuk keluar dari rumah dengan memakai bedak sejuk. Oleh sebab itu kebanyakan pengguna lebih gemar memakai bedak sejuk pada waktu malam hingga membawa ke tidur.

Penggunaan bedak sejuk pada asalnya adalah untuk mendapatkan atau mengekalkan wajah yang cantik, licin dan mulus. Masalah jerawat dan jeragat dapat dirawat dengan penggunaan bedak sejuk secara berterusan. Jadikanlah bedak sejuk sebagai lulur atau masker. Jangan kedekut semasa menggunakan bedak sejuk. Ambil segenggam bedak dan campurkan dengan sedikit air supaya menjadi pekat. Pupukkan ke muka dan biarkan kering. Sebagai wanita yang mementingkan kecantikan wajah haruslah rajin dan sabar dalam merawat masalah kulit muka agar memperolehi wajah idaman.

Bedak sejuk dengan sendirinya mampu menjaga kulit dari dalam. Tidak perlu bahan bantuan. Ini kerana di dalam bedak sejuk terdapat pelbagai khasiat dan vitamin yang tersembunyi. Sekiranya berlaku kegatalan pada kulit ketika penggunaannya, itu hanyalah tindak balas yang terjadi di mana asid yang ada pada bedak yang sedang membaiki kulit kita dari dalam. Semua ini berlaku kerana kulit kita memiliki pelbagai bahan kimia yang ada di dalam krim muka yang kita telah gunakan bertahun lamanya. Percayalah, bedak sejuk yang dibuat secara tradisional lebih selamat dan suci.
Bab 1.1
Fungsi rendaman

Tempoh rendaman beras memainkan peranan yang amat penting. Orang-orang tua dahulu hanya memberitahu bahawa lagi lama beras direndam lagi sejuk bedak yang terhasil nanti. Mereka tidak tahu sebenarnya ada banyak kelebihan lain jika beras direndam lama. Sekarang dalam zaman teknologi moden ini barulah diketahui misteri rendaman beras ini. Bukan sekadar suka-suka sahaja hendak rendam beras rupanya.

Umi Alya pun baru tahu mengenai hal ini. mari kita sama-sama belajar. Untuk pengetahuan semua, beras yang direndam sebenarnya mengeluarkan bakteria dan bahan aktif yang akan wujud di dalam bedak sejuk. Ketumpatan mikrob yang tinggi mempunyai bahan aktif seperti ceramide yang berfungsi meningkatkan kolagen dalam kulit bagi memberikan kulit yang tegang dan muda. Semua pasti tahu fungsi kolagen, kan. Rupanya beras juga boleh mengeluarkan kolagen. Subhanallah...

Bedak sejuk yang sudah direndam juga mempunyai asid laktik dan asid fenolik serta 4 asid amino benzonik (PABA) yang biasa terdapat dalam produk kosmetik. Aktiviti beras yang direndam atau diperam bertujuan bagi memerangkap kelembapan dan memberikan kesan yang baik terhadap kulit. Pengetahuan ini didapati setelah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universitu Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Noorhisham Tan Kofli dengan kerjasama pelajar Ijazah Sarjana, Mohd Alif Afifie Dzulfekar dan pelajar Ijazah Sarjana Muda, Mohd Izzudin Ahmad Zainuri, membuat kajian ke atas bedak sejuk. (sumber dari Utusan Online 25 Februari 2015 oleh Khairunnisa Sulaiman)

Terima kasih buat para penyelidik yang bersungguh-sungguh membuat kajian tentang bedak sejuk. Umi Alya pun baru tahu tentang perkara ini. Patutlah orang-orang dahulu begitu menyukai beras yang di peram bertahun-tahun lamanya. Lebih lama beras di peram, lebih banyak mikrob aktif dan lebih banyak kelembapan boleh di simpan yang membuatkan bedak menjadi lebih sejuk dan nyaman ketika memakainya.
Bab 1.2
Antara jenis-jenis bedak keluaran kami

Bedak sejuk keluaran kami dibuat sepenuhnya dari beras. Umi Alya akan merendam beras berbulan-bulan lamanya agar hasil yang akan dikeluarkan memuaskan hati setiap pelanggan. Tambahan pula selepas mengetahui kebaikan beras jika direndam dengan had masa yang lama. Ramai yang menganggap bedak sejuk kami dibuat dari tepung beras. Tepung beras paket yang boleh di beli di kedai-kedai runcit itu. Anggapan ini berlaku kerana bedak kami halus. Ingin Umi Alya maklumkan di sini bahawa bedak sejuk kami BUKAN datang dari tepung beras yang sudah di proses di kilang ya. Umi Alya sentiasa memastikan stok rendaman beras sentiasa ada.

Bedak sejuk kebiasaannya disapu selepas mandi. Bertompok-tompok muka disaluti dengan bedak sejuk. Selalu kita lihat orang-orang tua dan bayi serta kanak-kanak yang sering memakainya. Tetapi tahukah kita khasiat bedak sejuk kegemaran ramai sejak zaman dahulu?

Ada banyak khasiat yang tersembunyi yang tidak diketahui oleh pengguna zaman sekarang. Kebanyakan dari kita hanya menganggap penggunaan bedak sejuk hanya dipakai ketika musim panas. Digunapakai semata-mata untuk menyejukkan muka dan badan. Rupa-rupanya ada banyak lagi kegunaan bedak sejuk ini. Mari kita buat sedikit kajian mengenai jenis-jenis bedak yang Umi Alya sediakan.






Bab 1.2.1 Bedak sejuk biasa/asli


Bedak sejuk biasa atau asli selalunya berwarna putih bersih. Ketulan-ketulan kecil bak mutiara begitu mempesonakan mata yang memandang. Umi Alya memang suka menitik beras putih ini. Setiap titik yang jatuh di atas kain, indah bagai biji-biji mutiara lagaknya. Bedak sejuk ini boleh juga diberikan warna. Ada pelanggan Umi Alya yang meminta agar diberi warna kepada bedak sejuk asli ini. Hajat hatinya untuk dijadikan buah tangan para tetamu jemputannya.

Pemakaian bedak sejuk bukan sekadar untuk menyejukkan muka dan badan. Ia juga membantu membuang kotoran pada pori-pori kulit. Gosokkan secara perlahan bedak sejuk yang masih basah ke muka. Usai menggosoknya, bolehlah dibasuh dengan air paip. Cara ini dapat menyingkirkan sel-sel kulit yang sudah mati dan meninggalkan pori-pori yang bersih dan kecil. Kulit muka akan terasa lebih licin dan kelihatan lebih berseri.

Bedak sejuk ini juga boleh dijadikan masker sebelum tidur. Umi Alya suka memesan kepada pengguna bedak sejuk agar membasuh bedak yang sudah kering dengan air paip sahaja. Tidak perlu mencuci muka dengan sabun muka yang sudah tentu mempunyai bahan kimia di dalamnya. Takut terjadi tindakbalas antara bedak sejuk dengan bahan kimia tersebut. Nanti muka yang agak sensitif menjadi gatal atau kemerahan akibat tindakbalas ini.
1.2.2 Bedak sejuk aloe vera

Bentuk tanaman aloe vera atau lidah buaya mirip seperti kaktus. Tetapi isinya sangat berlendir. Di dalam lendir aloe vera atau lidah buaya memiliki anti oksiden, beta karoten, vitamin c dan e. Bahan-bahan ini menjaga lidah buaya agar terap terhidrasi. Selain daripada itu ia memiliki 18 asid amino yang berfungsi untuk memberikan manfaat kepada tubuh badan manusia. Patutlah pokok ini begitu terkenal di dalam industri kosmetik dan penjagaan kesihatan.

Umi Alya menggunakan lendir aloe vera untuk dicampurkan ke dalam bancuhan bedak sejuk. Penggunaan secara berterusan atau rutin akan membuat kedutan pada kulit wajah yang menandakan penuaan hilang seketika kerana kulit menjadi lebih kenyal. Ia juga membantu menghilangkan sel-sel mati dengan cepat. Aloe vera adalah perisai dari radiasi sinar uv yang boleh membuatkan kulit menjadi kusam dan kering. Lendir lidah buaya juga melembabkan kulit yang menjadikan ia sebagai pelembab yang bagus untuk kulit kering. Gunalah bedak aloe vera ini secara rutin supaya wajah tampak bersinar, bersih dan cerah.


Bedak sejuk yang dicampur dengan pati atau lendir aloe vera ini boleh memperbaiki tekstur kulit dengan cara merawat jerawat yang tumbuh. Jerawat menjadi kecil dan hilang bila digunakan selalu. Bedak aloe vera ini juga menyingkirkan toksin yang ada pada wajah dan meninggalkan kulit wajah yang lebih sihat.