Friday 12 April 2019

Biodata penulis

Bab 6

Bismillahirrahmanirrahim



Noraziah binti Othman. Inilah nama yang diberi oleh abah dan mak istimewa buat anak sulung mereka. Dilahirkan di pekan Teluk Intan dan dibesarkan di Ipoh, Perak. Menerima pendidikan awal hingga ke menengah di Sekolah Perempuan Methodist, Ipoh. Usai tamat sekolah menengah, anak ini diterima masuk untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di Institut Teknologi Mara (ITM) Perak.

Pada tahun 1990, jodoh bertamu dan berakhirlah zaman bujang pada penghujung tahun tersebut. Setelah dikurniakan 2 cahayamata lelaki,satu keputusan yang banyak mengubah destinasi hidup berlaku. Keputusan bersama dipersetujui dan atas nekad dan keyakinan yang besar hasrat untuk berhenti kerja bagi menumpukan lebih perhatian kepada rumahtangga dan tumbesaran anak-anak terlaksana. Ramai yang menentang terutama mak namun hati lebih bahagia dan tenang setelah membuat keputusan drastik itu. Alhamdulillah berkat doa yang tidak putus-putus kesemua anak-anak berjaya dalam pelajaran masing-masing.

Dua tahun selepas suami mengambil pencen awal, kami menubuhkan syarikat enterprise untuk memulakan perniagaan online secara kecil-kecilan. Nama yang kami pilih diambil sempena nama satu-satunya anak perempuan kami, Nuralya Enterprise. Sejak itu kami telah banyak mengusahakan pelbagai niaga tetapi perniagaan bedak sejuk menunjukan hasil yang lebih baik. Pembuatan bedak sejuk ini dipelajari dari mak mertua yang masih menetap bersama-sama kami. Sejak menjadi ahli perniagaan online ini, kini nama lebih dikenali sebagai Umi Alya. Maknanya tidaklah glamor mana pun hanya mak kepada Alya...



Kini setelah berniaga selama 8 tahun, daripada satu jenis bedak sejuk putih yang biasa, kami telah menghasilkan sebanyak 26 jenis bedak sejuk yang dicampurkan dengan pelbagai pati tumbuh-tumbuhan asli. Kesemua jenis bedak ini mengikut kemahuan pelanggan. Alhamdulillah sehingga sekarang, perniagaan bedak sejuk kami mampu menyara kehidupan kami sekeluarga. Syukur ke hadrat Allah.

No comments:

Post a Comment