Thursday 25 April 2019

Ulasan Kelas Ebook

Subhanallah Maha Suci Allah, syukur kepada Allah yang mempertemukan saya dengan cikgu Masayu di laman muka buku. Saya bermula dengan tulis di blog dengan cikgu. Dengan bantuan dan tunjukajar beliau, saya dapat mempelajari cara-cara menulis blog dengan baik. Selepas itu saya teringin pula memiliki ebook. Setelah berfikir panjang dan tercari-cari masa yang sesuai untuk mula menulis, saya akhirnya bersetuju untuk mempelajari cara-cara membuat ebook.

Dari gambar-gambar yang ditunjukkan oleh cikgu di dalam facebook, membuatkan saya berkobar-kobar untuk terus mempelajarinya. Allah permudahkan urusan saya untuk terus memasuki kelas ebook ini, inilah rezeki saya yang telah Allah berikan.

Ketegasan dan komitmen yang diberi oleh cikgu Mas membuatkan saya malu sendiri. Apa tidaknya, saya sebagai murid tidak dapat memenuhi kehendak cikgu untuk menghabiskan entri mengikut jadual. Selama ini saya hanya menulis mengikut apa yang terlintas di kepala pada waktu itu. Pasti tulisan saya tidak begitu memuaskan. Cikgu Mas menegaskan untuk menulis di buku nota terlebih dahulu. Sebagai guru yang berpengalaman, ilmu cikgu Mas memang betul-betul mujarab. Terima kasih cikgu.

Alhamdulillah, dengan sedikit lagi usaha in shaa Allah saya akan mempunyai ebook bedak sejuk saya sendiri. Semoga pengalaman saya sebagai pengusaha bedak sejuk memanfaatkan sesiapa yang ingin menjadi usahawan bedak sejuk seperti saya.

Tinta Pengarang

Tinta Pengarang

La haula wala quwata illa billah hil aliyil 'azim 'Tiada kekuatan dan daya melainkan dari Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia.

Salam perkenalan,

Subhanallah, Alhamdulillah... hanya ini sahaja ucapan yang mampu saya ucapkan. Kesyukuran yang teramat tinggi ke hadrat Ilahi yang Maha Berkuasa dan Pentadbir perjalanan hidup setiap hambaNya. Tanpa kudrat dan izin dariNya, pasti ebook ini tidak dapat dilaksanakan.

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat guru ebook saya, Cikgu Masayu Ahmad yang banyak mendorong saya agar terus menyiapkan ebook ini, Tanpa tunjukajar dari beliau pasti ebook ini tidak akan berhasil.

Buat keluarga tersayang yang amat memahami minat dan hasrat hati saya, pengorbanan kalian amat umi sanjungi, Memang kasihan kerana ada kalanya mereka terpaksa berkorban demi minat saya ini.

Allah makbulkan juga hasrat saya untuk memiliki ebook atas nama saya sendiri. Alhamdulillah... Semoga ebook tutorial bedak sejuk ini dapat memberi manfaat buat anda semua.

Selamat membaca...

Amaran

Amaran

1. Ebook ini adalah hak cipta terpelihara Nor'aziah Othman

2. Sebarang perubahan, pengedaran atau penjualan ebook ini kepada pihak lain adalah dilarang sama sekali.

3. Tindakan undang-undang boleh dikenakan jika terdapat sebarang tindakan yang menyalahi etika penerbitan.

4. Sekiranya menerima ebook ini bukan dari Nor'aziah Othman, sila laporkan.

5. Tindakan anda amatlah dihargai bagi membenteras kegiatan sebegini.

Terima kasih dari saya.

Nor'aziah binti Othman

Tuesday 23 April 2019

Langkah demi langkah

Bab 2
Proses membuat bedak sejuk

Cara pembuatan bedak sejuk ini ada pelbagai. Ada yang gemar cara mudah dan ada yang lebih suka mengekalkan cara tradisional. Mana-mana cara pun akan mendapat hasil bedak yang sama cuma bila kita membuat cara nenek moyang, hasilnya jauh lebih bagus. Mengapa? Cara lama ini memang remeh kerana terlalu banyak masa diambil dan tenaga digunakan. Namun hasilnya lebih menyakinkan. Walaubagaimanapun proses permulaan tetap sama iaitu beras perlu direndam terlebih dahulu. Berapa lama tempoh rendaman?

Berapa lama beras perlu direndam juga berbeza. Ada yang mengambil jalan singkat iaitu untuk beberapa bulan sahaja. Ada juga yang mengambil masa bertahun untuk mendapatkan hasil yang lebih baik. Secara saintifik, beras yang direndam lama mempunyai tahap mikrob yang tinggi. Mikrob yang aktif dan tinggi ini memberi kesan terhadap beras. Mikrob-mikrob ini menghasilkan bakteria yang amat berguna kepada kulit wajah. Bakteria-bakteria inilah yang menjalankan tugas merawat kulit muka yang bermasalah.

Umi Alya lebih suka merendam beras sehingga menjadi tapai. Bau tapai juga begitu sedap dihidu oleh hidung Umi Alya. Beras yang mempunyai bau tapai menghasilkan bedak sejuk yang agak wangi. Tidak perlu lagi hirisan daun pandan atau bunga-bunga lain untuk mewangikan bedak. Mari Umi Alya terangkan serba sedikit langkah demi langkah cara bedak sejuk yang Umi Alya hasilkan.


















Bab 2.1
Langkah pertama:

Umi Alya menggunakan beras kampit sahaja. Kami tiada sawah padi. Sebenarnya beras baru lebih sesuai untuk di buat bedak sejuk. Tidak mengapalah, lagipun beras kampit sudahpun di proses supaya tiada sekam padi masuk di dalam beras. Beras perlu di basuh sehingga bersih seperti kita membasuh beras untuk di masak sebelum di rendam. Berapa banyak beras yang hendak di rendam terpulang kepada kehendak kita. Selepas di rendam, beras perlu di simpan di tempat yang bersih dan agak gelap. Seeloknya di dalam tempayan tanah tetapi memandangkan harga tempayan sekarang agak mahal, beras boleh sahaja di simpan di dalam bekas yang bertutup.


Umi Alya akan menulis tarikh mula merendam agar mudah untuk Umi Alya ingat. Maklumlah Umi Alya harus merendam beras dalam kuantiti yang banyak. Setiap bekas mempunyai berat 1 kilo beras. 
Bab 2.2
Langkah kedua:

Air rendaman perlu diganti setiap minggu bagi mengelakkan beras dari berbau tengit dan busuk. Beras akan dikacau supaya setiap bahagian dalam bekas dapat dibasuh dengan sempurna. Kemudian bekas akan dipenuhi dengan air bersih semula. Proses rendaman diteruskan sehingga 6 bulan ke atas atau sehingga ia diperlukan.

Di sini Umi Alya hendak berkongsi tip juga. Sebenarnya air beras tadi tidak perlu dibuangkan begitu sahaja. Umi Alya akan satukan air-air beras tadi di dalam baldi. Air tersebut boleh disiram kepada pokok sebagai baja tanaman.
Bab 2.3
Langkah ketiga:

Beras-beras yang direndam agak lama akan menjadi hancur dan halus. Pada waktu ini kita perlu hati-hati membuangkan airnya supaya beras yang sudah menjadi tepung itu tidak terbuang dengan jumlah yang banyak. Gunakan kain kasa untuk menapis tepung. letakkan kain kasa berisi tepung beras tadi di dalam basin. Basuh lagi tepung dengan air bersih dan biarkan mendap. Lakukan berkali-kali sehingga mendapan tepung menjadi putih bersih. Tapiskan dengan kain kasa. Angkat dan biarkan kering.
Bab 2.4
Langkah empat:

Tepung yang kering tadi dicampurkan dengan sedikit air. Bancuh hingga dapat kepekatan yang sesuai. Ambil daun pisang yang sudah digulung seperti bentuk kun. Tuangkan sedikit bancuhan bedak ke dalam kun pisang dan mula menitik. Titik bedak di atas kain bersih yang sudah dibentang di atas meja.

Umi Alya lebih suka menggunakan daun pisang kerana ia licin dan senang didapati. Belakang rumah Umi Alya ada banyak pokok pisang. Stok daun pisang tidak menjadi masalah. Ada juga yang Umi Alya dengar menggunakan daun jenis lain. Apa jua jenis daun tidak menjadi masalah. Apa yang penting kesenangan untuk menitik. Mak mertua Umi Alya kata daun pisang yang digunakan ini ada khasiatnya. Tetapi Umi Alya tidaklah pernah bertanya pula.


Bab 2.5
Langkah kelima:

Biarkan titik-titik bedak itu kering sebentar sebelum di jemur di luar di bawah matahari. Hiris daun pandan halus-halus dan taburkan ke atas bedak yang sedang dijemur. Biar seketika dan kemudian campurkan bedak bersama daun pandan yang sudah hampir kering.

Cantik kan titik-titik bedak sejuk? Macam mutiara lagaknya. Bulat dan kecil. Umi Alya suka tengok bedak sejuk ini walaupun memang lenguh tangan menitiknya. Jika kepekatan yang dibancuh betul, bedak akan mudah berbentuk. Jika cair ia tidak akan membulat seperti di dalam gambar. Umi Alya suka buat kecil-kecil sebab nampak comel tetapi ada pelanggan yang suka bentuk yang lebih besar. Apa jua bentuk yang di minta akan Umi Alya penuhi. Jangan risau ya...

Bab 2.6
Langkah keenam:

Ini bahagian terakhir proses membuat bedak sejuk. Ambil sedikit bedak sejuk yang sudah kering ke tapak tangan. Jumlah bedak tidak kiralah banyak mana. Jika nak buat masker biar ambil banyak. kalau hanya hendak dijadikan bedak, ambillah sedikit saja. Campurkan dengan sedikit air paip atau air mawar jika inginkan wangian mawar, dan sapukan ke muka. Tepuk-tepukkan lembut sedikit ke wajah agar bedak masuk ke dalam pori-pori kulit. Biarkan kering.

Jika hendak membuat seperti 'scrub' bolehlah digosokkan secara perlahan-lahan dengan dua jari semasa bedak masih lembap. Gosok ke serata muka sehingga habis bedak-bedak yang ada di muka itu. Basuh dengan air biasa dan lap kering muka. Kita akan dapat merasakan muka lebih bersih dan segar.

Sekiranya bedak dijadikan masker, Umi Alya ingin mengingatkan semasa hendak membasuh bedak masker, gunalah air biasa sahaja. Jangan di campurkan sabun muka ketika membasuh bedak. Umi Alya takut akan ada tindakbalas antara bedak dan sabun nanti sehingga menyebabkan wajah terasa gatal-gatal dan kemerahan.

Selamat mencuba bedak sejuk keluaran Umi Alya yang semestinya suci dan bersih tanpa pengawet. Semoga wajah anda licin dan mulus serta awet muda selalu. In shaa Allah... Mulakan dengan Bismillahhirrahmanirrahim dan disudahi dengan Alhamdulillah.

Panduan asas bedak sejuk

Bab 1
Pengenalan bedak sejuk

Wanita dan kecantikan memang sinonim, tidak boleh dipisahkan. Setiap wanita tidak kira pangkat dan umur memang sentiasa ingin kelihatan cantik dan menarik. Tidak kira untuk pandangan siapa pun yang penting hati rasa tenang dan bahagia bila kulit wajah mulus tanpa noda. Pelbagai kaedah dan petua turun-temurun digunakan untuk mengekalkan kecantikan semulajadi. Bedak sejuk amat jarang digunakan terutamanya dalam persekitaran masyarakat moden sekarang. Anak muda zaman sekarang lebih suka memiliki krim berjenama dari luar negara ataupun keluaran dari artis-artis terkenal. Lebih mahal harganya sudah tentu lebih canggih hasilnya. Namun tidak semua orang berkemampuan untuk memiliki barangan mahal dan bermutu itu.

Selama Umi Alya berniaga bedak sejuk ini dan berinteraksi dengan para pelanggan, ramai yang agak menyesal menggunakan produk moden. Tidak semua mendapat hasil seperti yang digambarkan. Ini kerana kulit wajah kita amat berbeza. Satu perkara yang penting produk asli adalah tanpa bahan kimia. Apa sahaja yang asli memang sesuai untuk kita. Bedak sejuk adalah dibuat seratus peratus dari bahan asli. Gunalah tanpa was-was. Cara pemakaiannya memanglah tampak begitu comot. Memang amat memalukan untuk keluar dari rumah dengan memakai bedak sejuk. Oleh sebab itu kebanyakan pengguna lebih gemar memakai bedak sejuk pada waktu malam hingga membawa ke tidur.

Penggunaan bedak sejuk pada asalnya adalah untuk mendapatkan atau mengekalkan wajah yang cantik, licin dan mulus. Masalah jerawat dan jeragat dapat dirawat dengan penggunaan bedak sejuk secara berterusan. Jadikanlah bedak sejuk sebagai lulur atau masker. Jangan kedekut semasa menggunakan bedak sejuk. Ambil segenggam bedak dan campurkan dengan sedikit air supaya menjadi pekat. Pupukkan ke muka dan biarkan kering. Sebagai wanita yang mementingkan kecantikan wajah haruslah rajin dan sabar dalam merawat masalah kulit muka agar memperolehi wajah idaman.

Bedak sejuk dengan sendirinya mampu menjaga kulit dari dalam. Tidak perlu bahan bantuan. Ini kerana di dalam bedak sejuk terdapat pelbagai khasiat dan vitamin yang tersembunyi. Sekiranya berlaku kegatalan pada kulit ketika penggunaannya, itu hanyalah tindak balas yang terjadi di mana asid yang ada pada bedak yang sedang membaiki kulit kita dari dalam. Semua ini berlaku kerana kulit kita memiliki pelbagai bahan kimia yang ada di dalam krim muka yang kita telah gunakan bertahun lamanya. Percayalah, bedak sejuk yang dibuat secara tradisional lebih selamat dan suci.
Bab 1.1
Fungsi rendaman

Tempoh rendaman beras memainkan peranan yang amat penting. Orang-orang tua dahulu hanya memberitahu bahawa lagi lama beras direndam lagi sejuk bedak yang terhasil nanti. Mereka tidak tahu sebenarnya ada banyak kelebihan lain jika beras direndam lama. Sekarang dalam zaman teknologi moden ini barulah diketahui misteri rendaman beras ini. Bukan sekadar suka-suka sahaja hendak rendam beras rupanya.

Umi Alya pun baru tahu mengenai hal ini. mari kita sama-sama belajar. Untuk pengetahuan semua, beras yang direndam sebenarnya mengeluarkan bakteria dan bahan aktif yang akan wujud di dalam bedak sejuk. Ketumpatan mikrob yang tinggi mempunyai bahan aktif seperti ceramide yang berfungsi meningkatkan kolagen dalam kulit bagi memberikan kulit yang tegang dan muda. Semua pasti tahu fungsi kolagen, kan. Rupanya beras juga boleh mengeluarkan kolagen. Subhanallah...

Bedak sejuk yang sudah direndam juga mempunyai asid laktik dan asid fenolik serta 4 asid amino benzonik (PABA) yang biasa terdapat dalam produk kosmetik. Aktiviti beras yang direndam atau diperam bertujuan bagi memerangkap kelembapan dan memberikan kesan yang baik terhadap kulit. Pengetahuan ini didapati setelah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universitu Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Noorhisham Tan Kofli dengan kerjasama pelajar Ijazah Sarjana, Mohd Alif Afifie Dzulfekar dan pelajar Ijazah Sarjana Muda, Mohd Izzudin Ahmad Zainuri, membuat kajian ke atas bedak sejuk. (sumber dari Utusan Online 25 Februari 2015 oleh Khairunnisa Sulaiman)

Terima kasih buat para penyelidik yang bersungguh-sungguh membuat kajian tentang bedak sejuk. Umi Alya pun baru tahu tentang perkara ini. Patutlah orang-orang dahulu begitu menyukai beras yang di peram bertahun-tahun lamanya. Lebih lama beras di peram, lebih banyak mikrob aktif dan lebih banyak kelembapan boleh di simpan yang membuatkan bedak menjadi lebih sejuk dan nyaman ketika memakainya.
Bab 1.2
Antara jenis-jenis bedak keluaran kami

Bedak sejuk keluaran kami dibuat sepenuhnya dari beras. Umi Alya akan merendam beras berbulan-bulan lamanya agar hasil yang akan dikeluarkan memuaskan hati setiap pelanggan. Tambahan pula selepas mengetahui kebaikan beras jika direndam dengan had masa yang lama. Ramai yang menganggap bedak sejuk kami dibuat dari tepung beras. Tepung beras paket yang boleh di beli di kedai-kedai runcit itu. Anggapan ini berlaku kerana bedak kami halus. Ingin Umi Alya maklumkan di sini bahawa bedak sejuk kami BUKAN datang dari tepung beras yang sudah di proses di kilang ya. Umi Alya sentiasa memastikan stok rendaman beras sentiasa ada.

Bedak sejuk kebiasaannya disapu selepas mandi. Bertompok-tompok muka disaluti dengan bedak sejuk. Selalu kita lihat orang-orang tua dan bayi serta kanak-kanak yang sering memakainya. Tetapi tahukah kita khasiat bedak sejuk kegemaran ramai sejak zaman dahulu?

Ada banyak khasiat yang tersembunyi yang tidak diketahui oleh pengguna zaman sekarang. Kebanyakan dari kita hanya menganggap penggunaan bedak sejuk hanya dipakai ketika musim panas. Digunapakai semata-mata untuk menyejukkan muka dan badan. Rupa-rupanya ada banyak lagi kegunaan bedak sejuk ini. Mari kita buat sedikit kajian mengenai jenis-jenis bedak yang Umi Alya sediakan.






Bab 1.2.1 Bedak sejuk biasa/asli


Bedak sejuk biasa atau asli selalunya berwarna putih bersih. Ketulan-ketulan kecil bak mutiara begitu mempesonakan mata yang memandang. Umi Alya memang suka menitik beras putih ini. Setiap titik yang jatuh di atas kain, indah bagai biji-biji mutiara lagaknya. Bedak sejuk ini boleh juga diberikan warna. Ada pelanggan Umi Alya yang meminta agar diberi warna kepada bedak sejuk asli ini. Hajat hatinya untuk dijadikan buah tangan para tetamu jemputannya.

Pemakaian bedak sejuk bukan sekadar untuk menyejukkan muka dan badan. Ia juga membantu membuang kotoran pada pori-pori kulit. Gosokkan secara perlahan bedak sejuk yang masih basah ke muka. Usai menggosoknya, bolehlah dibasuh dengan air paip. Cara ini dapat menyingkirkan sel-sel kulit yang sudah mati dan meninggalkan pori-pori yang bersih dan kecil. Kulit muka akan terasa lebih licin dan kelihatan lebih berseri.

Bedak sejuk ini juga boleh dijadikan masker sebelum tidur. Umi Alya suka memesan kepada pengguna bedak sejuk agar membasuh bedak yang sudah kering dengan air paip sahaja. Tidak perlu mencuci muka dengan sabun muka yang sudah tentu mempunyai bahan kimia di dalamnya. Takut terjadi tindakbalas antara bedak sejuk dengan bahan kimia tersebut. Nanti muka yang agak sensitif menjadi gatal atau kemerahan akibat tindakbalas ini.
1.2.2 Bedak sejuk aloe vera

Bentuk tanaman aloe vera atau lidah buaya mirip seperti kaktus. Tetapi isinya sangat berlendir. Di dalam lendir aloe vera atau lidah buaya memiliki anti oksiden, beta karoten, vitamin c dan e. Bahan-bahan ini menjaga lidah buaya agar terap terhidrasi. Selain daripada itu ia memiliki 18 asid amino yang berfungsi untuk memberikan manfaat kepada tubuh badan manusia. Patutlah pokok ini begitu terkenal di dalam industri kosmetik dan penjagaan kesihatan.

Umi Alya menggunakan lendir aloe vera untuk dicampurkan ke dalam bancuhan bedak sejuk. Penggunaan secara berterusan atau rutin akan membuat kedutan pada kulit wajah yang menandakan penuaan hilang seketika kerana kulit menjadi lebih kenyal. Ia juga membantu menghilangkan sel-sel mati dengan cepat. Aloe vera adalah perisai dari radiasi sinar uv yang boleh membuatkan kulit menjadi kusam dan kering. Lendir lidah buaya juga melembabkan kulit yang menjadikan ia sebagai pelembab yang bagus untuk kulit kering. Gunalah bedak aloe vera ini secara rutin supaya wajah tampak bersinar, bersih dan cerah.


Bedak sejuk yang dicampur dengan pati atau lendir aloe vera ini boleh memperbaiki tekstur kulit dengan cara merawat jerawat yang tumbuh. Jerawat menjadi kecil dan hilang bila digunakan selalu. Bedak aloe vera ini juga menyingkirkan toksin yang ada pada wajah dan meninggalkan kulit wajah yang lebih sihat.
1.2.3 Bedak sejuk kulit pisang

Pisang memang enak jika dimakan begitu sahaja. Selain daripada itu pisang adalah makanan pemberi tenaga. Sebenarnya pisang juga termasuk di dalam keluarga buah-buahan serbaguna. Jangan tidak tahu, kulit pisang juga mempunyai khasiat tersendiri yang tersembunyi.



Kulit pisang mengandungi vitamin c dan e, kalium dan zink, besi dan mangan. Sebatian-sebatian ini dapat meredakan kulit yang meradang dan mengurangkan jerawat. Jika dahulu kulit pisang digosokkan secara terus ke kulit yang bermasalah. apabila sudah kering, kulit muka kelihatan kehitaman akibat getah yang ada pada kulit pisang. Sekarang Umi Alya hancurkan kulit pisang dan campurkan ke dalam bancuhan bedak. Wajah tidak lagi kehitaman tetapi keputihan setelah memakai bedak sejuk kulit pisang.

Kandungan lutein dan karoteneid pula boleh membantu masalah jerawat yang kronik dan membengkak. Bancuhkan bedak agar pekat sedikit dan tompokkan pada jerawat degil itu dan biarkan seketika. Buatlah secara rutin, In shaa Allah, jerawat akan mengecil dan mengecut.


1.2.4  Bedak sejuk sagu bemban

Pokok sagu bemban biasanya membiak melalui ubi di tempat agak lembap di kawasan kampung-kampung. Umi Alya ada menanam pokok sagu bemban ini. Kebetulan semasa pergi menziarahi saudara di Kedah, pokok sagu bemban ada di bawah jagaannya. Umi Alya mintalah sepokok untuk di tanam. Sekarang ada banyak di belakang rumah.

Antara khasiat sagu bemban ialah parutan ubinya digunakan sebagai rawatan untuk penyakit kayap. Ia boleh meredakan rasa panas dan sakit akibat penyakit kayap itu.

Khasiat daripada ubi pokok sagu bemban ini boleh dicampurkan dengan bedak sejuk untuk bantu rawatan masalah bengkak akibat gigitan serangga. Caranya ialah dengan menyapu atau tampal pada kawasan terkena gigitan itu. In sha Allah akan sembuh masalah bengkak.
1.2.5  Bedak sejuk daun gelenggang

Pokok daun gelenggang banyak terdapat di tepi-tepi kawasan berair. Pokoknya besar dan berbunga kuning. Pokoknya senang dijaga sebab ia dari jenis pokok meliar.


Daun gelenggang boleh merawat masalah penyakit kulit seperti kayap, panau, kulat kulit dan eczema. Ia juga meredakan gatal-gatal kulit dan masalah sakit akibat sengatan serangga.






Friday 19 April 2019

Bab 3.4  Cara jadi agen

Agen yang sedia ada setakat ini hanya berada di sekitar kampung tempat kediaman. Umi Alya masih mencari sesiapa yang ingin menjadi agen. Namun syarat yang kami kenakan adalah setiap agen perlulah membeli paling minima 20 biji botol. Harga boleh dirunding. Semestinya ada diskaun...

Dari tinjauan yang dibuat sebotol bedak sejuk yang mempunyai berat 50 gm yang dijual di sekitar bandar Ipoh boleh mencapai sehingga rm6 sebotol. Memang akan dapat keuntungan 100 peratus sekiranya menjadi agen kami. Amat berbaloi...
Bab 3.3 Cara jadi rakan niaga


Kami menggalakkan pelanggan atau bakal pelanggan kami yang sudah menggunakan produk, untuk turut menjadi rakan niaga. Sudah tentu harga bedak yang akan diberikan sangat-sangat istimewa. Setakat hari ini, rakan niaga syarikat kami membuat pesanan secara konsisten. Produk yang mereka pesan juga sangat 'exclusive'. Anda juga boleh menjadi rakan niaga satu hari, in sha Allah.


Pilihan di tangan anda


Thursday 18 April 2019

Bab 3.2 Cara menjadi pembekal / pemborong

Selain daripada menjual secara botol, sekiranya ada pelanggan atau bakal pelanggan yang ingin memulakan perniagaan secara kecik-kecilan, Umi Alya syorkan agar memesan secara borong atau pukal. Buat sahaja pesanan untuk sebarang jenis bedak yang anda inginkan. In shaa Allah Umi Alya akan cuba tunaikan pesanan tersebut. Anda juga boleh menghantar apa-apa produk seperti minyak wangi atau serum sendiri untuk dicampurkan ke dalam bedak pesanan anda.

Umi Alya memang menggalakkan pelanggan atau bakal pelanggan supaya menjadi pembekal atau pemborong bedak syarikat kami dengan menjual semula botol-botok bedak yang kami sediakan. Atau sekiranya mempunyai botol sendiri, boleh juga menggunakannya. Ini bermakna anda boleh membuat 'rebranding' ke atas produk bedak kami.

Harga untuk sekilo bedak sejuk sebarang jenis, setelah dicampur kos pos laju hanyalah rm 69 bagi anda yang menetap di Semenanjung Malaysia.

Bagi anda yang duduk di Sabah dan Sarawak pula, harga sekilo bedak sejuk bersama kos pos laju adalah rm 89.

Ada juga yang lebih senang untuk datang sendiri melihat premis pembuatan bedak sejuk ini sambil mengambil bedak yang di pesan. Harga sekilo bedak sejuk tanpa kos pos laju ialah rm 49.


Bab 3.1 Cara memesan bedak

Syarikat kami ada menyediakan bedak sejuk yang sudah dibotolkan. Ini untuk memudahkan para pelanggan yang ingin membeli bedak sejuk dalam jumlah yang sedikit. Ada juga yang membeli untuk dijadikan hadiah buat yang teristimewa. Bedak sejuk yang sudah dibotolkan memudahkan mereka untuk membungkus botol sebagai hadiah dengan lebih mudah. Botol-botol bedak sejuk ini, Umi Alya sudah meletakkan label syarikat, jenis bedak, berat bedak serta khasiat bedak tersebut.


Harga untuk sebotol bedak amat berpatutan. Umi Alya sudah membuat sedikit penyelidikan dari segi harga. Berbanding dengan harga yang ada di pasaran, bedak sejuk kami ini memang yang termurah. Sekiranya berminat untuk membeli secara offline di premis kami, harga sebotol rm 4.50 bagi setiap 50 gram.

Jika ada pelanggan atau bakal pelanggan yang ingin memiliki bedak sejuk ini secara belian atas talian atau online, kami syorkan agar memesan sebanyak 4 botol bedak. Ia boleh dicampurkan dengan beberapa jenis bedak lain. Harga untuk 4 botol bedak seberat 50gm ialah rm20 bersama kos pos laju.
Harga ini untuk pasaran di dalam semenanjung Malaysia

Bagi pelanggan atau bakal pelanggan yang menetap di Sabah dan Sarawak, harganya berbeza. Harga untuk 4 botol bedak seberat 50gm setiap satu ialah rm35  bersama kos pos laju.

Biasanya perkhidmatan pos laju ini akan mengambil masa sehari atau 2 hari untuk tiba di destinasi di Semenanjung Malaysia.

Friday 12 April 2019

Daftar Rakan Niaga Kami

Bab 3

Nuralya Enterprise sudah menjalankan perniagaan online ini sejak 2010. Perniagaan kami bertumpu kepada pembuatan bedak sejuk tradisional. Premis kami hanyalah di belakang rumah kediaman yang telah diubahsuai menjadi sebuah kilang kecil. Di situlah tempat kami menyediakan bedak sejuk.

Untuk makluman pembaca sekalian, syarikat kami mampu mengeluarkan produk mengikut kemahuan dan permintaan pelanggan. Setakat ini kami telah membuat sebanyak 26 jenis bedak sejuk dengan campuran pelbagai pati sayuran, buah-buahan dan juga herba. Setiap jenis bedak mempunyai khasiat tersendiri.
Ada di antara pelanggan kami yang meminta agar bedak yang menjadi pilihan mereka dibuat khas untuk mereka sahaja.  Dengan kata lain, bedak yang menjadi pilihan mereka itu mempunyai pati dan warna yang berbeza dari yang biasa kami jual.


Di sini, dilampirkan senarai bedak sejuk keluaran kami.


Dari segi harga, kami menawarkan harga yang berpatutan dan pelanggan kami bersetuju dengan harga yang kami berikan. Pemborong yang mengambil bedak dari kami memang boleh bersaing dengan harga yang ada di luar sana.



Hubungi Nuralya Enterprise:




Biodata penulis

Bab 6

Bismillahirrahmanirrahim



Noraziah binti Othman. Inilah nama yang diberi oleh abah dan mak istimewa buat anak sulung mereka. Dilahirkan di pekan Teluk Intan dan dibesarkan di Ipoh, Perak. Menerima pendidikan awal hingga ke menengah di Sekolah Perempuan Methodist, Ipoh. Usai tamat sekolah menengah, anak ini diterima masuk untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di Institut Teknologi Mara (ITM) Perak.

Pada tahun 1990, jodoh bertamu dan berakhirlah zaman bujang pada penghujung tahun tersebut. Setelah dikurniakan 2 cahayamata lelaki,satu keputusan yang banyak mengubah destinasi hidup berlaku. Keputusan bersama dipersetujui dan atas nekad dan keyakinan yang besar hasrat untuk berhenti kerja bagi menumpukan lebih perhatian kepada rumahtangga dan tumbesaran anak-anak terlaksana. Ramai yang menentang terutama mak namun hati lebih bahagia dan tenang setelah membuat keputusan drastik itu. Alhamdulillah berkat doa yang tidak putus-putus kesemua anak-anak berjaya dalam pelajaran masing-masing.

Dua tahun selepas suami mengambil pencen awal, kami menubuhkan syarikat enterprise untuk memulakan perniagaan online secara kecil-kecilan. Nama yang kami pilih diambil sempena nama satu-satunya anak perempuan kami, Nuralya Enterprise. Sejak itu kami telah banyak mengusahakan pelbagai niaga tetapi perniagaan bedak sejuk menunjukan hasil yang lebih baik. Pembuatan bedak sejuk ini dipelajari dari mak mertua yang masih menetap bersama-sama kami. Sejak menjadi ahli perniagaan online ini, kini nama lebih dikenali sebagai Umi Alya. Maknanya tidaklah glamor mana pun hanya mak kepada Alya...



Kini setelah berniaga selama 8 tahun, daripada satu jenis bedak sejuk putih yang biasa, kami telah menghasilkan sebanyak 26 jenis bedak sejuk yang dicampurkan dengan pelbagai pati tumbuh-tumbuhan asli. Kesemua jenis bedak ini mengikut kemahuan pelanggan. Alhamdulillah sehingga sekarang, perniagaan bedak sejuk kami mampu menyara kehidupan kami sekeluarga. Syukur ke hadrat Allah.