Tuesday 23 April 2019

Bab 1.2.1 Bedak sejuk biasa/asli


Bedak sejuk biasa atau asli selalunya berwarna putih bersih. Ketulan-ketulan kecil bak mutiara begitu mempesonakan mata yang memandang. Umi Alya memang suka menitik beras putih ini. Setiap titik yang jatuh di atas kain, indah bagai biji-biji mutiara lagaknya. Bedak sejuk ini boleh juga diberikan warna. Ada pelanggan Umi Alya yang meminta agar diberi warna kepada bedak sejuk asli ini. Hajat hatinya untuk dijadikan buah tangan para tetamu jemputannya.

Pemakaian bedak sejuk bukan sekadar untuk menyejukkan muka dan badan. Ia juga membantu membuang kotoran pada pori-pori kulit. Gosokkan secara perlahan bedak sejuk yang masih basah ke muka. Usai menggosoknya, bolehlah dibasuh dengan air paip. Cara ini dapat menyingkirkan sel-sel kulit yang sudah mati dan meninggalkan pori-pori yang bersih dan kecil. Kulit muka akan terasa lebih licin dan kelihatan lebih berseri.

Bedak sejuk ini juga boleh dijadikan masker sebelum tidur. Umi Alya suka memesan kepada pengguna bedak sejuk agar membasuh bedak yang sudah kering dengan air paip sahaja. Tidak perlu mencuci muka dengan sabun muka yang sudah tentu mempunyai bahan kimia di dalamnya. Takut terjadi tindakbalas antara bedak sejuk dengan bahan kimia tersebut. Nanti muka yang agak sensitif menjadi gatal atau kemerahan akibat tindakbalas ini.

No comments:

Post a Comment