Showing posts with label langkah demi langkah. Show all posts
Showing posts with label langkah demi langkah. Show all posts

Tuesday, 23 April 2019

Langkah demi langkah

Bab 2
Proses membuat bedak sejuk

Cara pembuatan bedak sejuk ini ada pelbagai. Ada yang gemar cara mudah dan ada yang lebih suka mengekalkan cara tradisional. Mana-mana cara pun akan mendapat hasil bedak yang sama cuma bila kita membuat cara nenek moyang, hasilnya jauh lebih bagus. Mengapa? Cara lama ini memang remeh kerana terlalu banyak masa diambil dan tenaga digunakan. Namun hasilnya lebih menyakinkan. Walaubagaimanapun proses permulaan tetap sama iaitu beras perlu direndam terlebih dahulu. Berapa lama tempoh rendaman?

Berapa lama beras perlu direndam juga berbeza. Ada yang mengambil jalan singkat iaitu untuk beberapa bulan sahaja. Ada juga yang mengambil masa bertahun untuk mendapatkan hasil yang lebih baik. Secara saintifik, beras yang direndam lama mempunyai tahap mikrob yang tinggi. Mikrob yang aktif dan tinggi ini memberi kesan terhadap beras. Mikrob-mikrob ini menghasilkan bakteria yang amat berguna kepada kulit wajah. Bakteria-bakteria inilah yang menjalankan tugas merawat kulit muka yang bermasalah.

Umi Alya lebih suka merendam beras sehingga menjadi tapai. Bau tapai juga begitu sedap dihidu oleh hidung Umi Alya. Beras yang mempunyai bau tapai menghasilkan bedak sejuk yang agak wangi. Tidak perlu lagi hirisan daun pandan atau bunga-bunga lain untuk mewangikan bedak. Mari Umi Alya terangkan serba sedikit langkah demi langkah cara bedak sejuk yang Umi Alya hasilkan.


















Bab 2.1
Langkah pertama:

Umi Alya menggunakan beras kampit sahaja. Kami tiada sawah padi. Sebenarnya beras baru lebih sesuai untuk di buat bedak sejuk. Tidak mengapalah, lagipun beras kampit sudahpun di proses supaya tiada sekam padi masuk di dalam beras. Beras perlu di basuh sehingga bersih seperti kita membasuh beras untuk di masak sebelum di rendam. Berapa banyak beras yang hendak di rendam terpulang kepada kehendak kita. Selepas di rendam, beras perlu di simpan di tempat yang bersih dan agak gelap. Seeloknya di dalam tempayan tanah tetapi memandangkan harga tempayan sekarang agak mahal, beras boleh sahaja di simpan di dalam bekas yang bertutup.


Umi Alya akan menulis tarikh mula merendam agar mudah untuk Umi Alya ingat. Maklumlah Umi Alya harus merendam beras dalam kuantiti yang banyak. Setiap bekas mempunyai berat 1 kilo beras. 
Bab 2.2
Langkah kedua:

Air rendaman perlu diganti setiap minggu bagi mengelakkan beras dari berbau tengit dan busuk. Beras akan dikacau supaya setiap bahagian dalam bekas dapat dibasuh dengan sempurna. Kemudian bekas akan dipenuhi dengan air bersih semula. Proses rendaman diteruskan sehingga 6 bulan ke atas atau sehingga ia diperlukan.

Di sini Umi Alya hendak berkongsi tip juga. Sebenarnya air beras tadi tidak perlu dibuangkan begitu sahaja. Umi Alya akan satukan air-air beras tadi di dalam baldi. Air tersebut boleh disiram kepada pokok sebagai baja tanaman.
Bab 2.3
Langkah ketiga:

Beras-beras yang direndam agak lama akan menjadi hancur dan halus. Pada waktu ini kita perlu hati-hati membuangkan airnya supaya beras yang sudah menjadi tepung itu tidak terbuang dengan jumlah yang banyak. Gunakan kain kasa untuk menapis tepung. letakkan kain kasa berisi tepung beras tadi di dalam basin. Basuh lagi tepung dengan air bersih dan biarkan mendap. Lakukan berkali-kali sehingga mendapan tepung menjadi putih bersih. Tapiskan dengan kain kasa. Angkat dan biarkan kering.
Bab 2.4
Langkah empat:

Tepung yang kering tadi dicampurkan dengan sedikit air. Bancuh hingga dapat kepekatan yang sesuai. Ambil daun pisang yang sudah digulung seperti bentuk kun. Tuangkan sedikit bancuhan bedak ke dalam kun pisang dan mula menitik. Titik bedak di atas kain bersih yang sudah dibentang di atas meja.

Umi Alya lebih suka menggunakan daun pisang kerana ia licin dan senang didapati. Belakang rumah Umi Alya ada banyak pokok pisang. Stok daun pisang tidak menjadi masalah. Ada juga yang Umi Alya dengar menggunakan daun jenis lain. Apa jua jenis daun tidak menjadi masalah. Apa yang penting kesenangan untuk menitik. Mak mertua Umi Alya kata daun pisang yang digunakan ini ada khasiatnya. Tetapi Umi Alya tidaklah pernah bertanya pula.


Bab 2.5
Langkah kelima:

Biarkan titik-titik bedak itu kering sebentar sebelum di jemur di luar di bawah matahari. Hiris daun pandan halus-halus dan taburkan ke atas bedak yang sedang dijemur. Biar seketika dan kemudian campurkan bedak bersama daun pandan yang sudah hampir kering.

Cantik kan titik-titik bedak sejuk? Macam mutiara lagaknya. Bulat dan kecil. Umi Alya suka tengok bedak sejuk ini walaupun memang lenguh tangan menitiknya. Jika kepekatan yang dibancuh betul, bedak akan mudah berbentuk. Jika cair ia tidak akan membulat seperti di dalam gambar. Umi Alya suka buat kecil-kecil sebab nampak comel tetapi ada pelanggan yang suka bentuk yang lebih besar. Apa jua bentuk yang di minta akan Umi Alya penuhi. Jangan risau ya...

Bab 2.6
Langkah keenam:

Ini bahagian terakhir proses membuat bedak sejuk. Ambil sedikit bedak sejuk yang sudah kering ke tapak tangan. Jumlah bedak tidak kiralah banyak mana. Jika nak buat masker biar ambil banyak. kalau hanya hendak dijadikan bedak, ambillah sedikit saja. Campurkan dengan sedikit air paip atau air mawar jika inginkan wangian mawar, dan sapukan ke muka. Tepuk-tepukkan lembut sedikit ke wajah agar bedak masuk ke dalam pori-pori kulit. Biarkan kering.

Jika hendak membuat seperti 'scrub' bolehlah digosokkan secara perlahan-lahan dengan dua jari semasa bedak masih lembap. Gosok ke serata muka sehingga habis bedak-bedak yang ada di muka itu. Basuh dengan air biasa dan lap kering muka. Kita akan dapat merasakan muka lebih bersih dan segar.

Sekiranya bedak dijadikan masker, Umi Alya ingin mengingatkan semasa hendak membasuh bedak masker, gunalah air biasa sahaja. Jangan di campurkan sabun muka ketika membasuh bedak. Umi Alya takut akan ada tindakbalas antara bedak dan sabun nanti sehingga menyebabkan wajah terasa gatal-gatal dan kemerahan.

Selamat mencuba bedak sejuk keluaran Umi Alya yang semestinya suci dan bersih tanpa pengawet. Semoga wajah anda licin dan mulus serta awet muda selalu. In shaa Allah... Mulakan dengan Bismillahhirrahmanirrahim dan disudahi dengan Alhamdulillah.