Tuesday 23 April 2019

Panduan asas bedak sejuk

Bab 1
Pengenalan bedak sejuk

Wanita dan kecantikan memang sinonim, tidak boleh dipisahkan. Setiap wanita tidak kira pangkat dan umur memang sentiasa ingin kelihatan cantik dan menarik. Tidak kira untuk pandangan siapa pun yang penting hati rasa tenang dan bahagia bila kulit wajah mulus tanpa noda. Pelbagai kaedah dan petua turun-temurun digunakan untuk mengekalkan kecantikan semulajadi. Bedak sejuk amat jarang digunakan terutamanya dalam persekitaran masyarakat moden sekarang. Anak muda zaman sekarang lebih suka memiliki krim berjenama dari luar negara ataupun keluaran dari artis-artis terkenal. Lebih mahal harganya sudah tentu lebih canggih hasilnya. Namun tidak semua orang berkemampuan untuk memiliki barangan mahal dan bermutu itu.

Selama Umi Alya berniaga bedak sejuk ini dan berinteraksi dengan para pelanggan, ramai yang agak menyesal menggunakan produk moden. Tidak semua mendapat hasil seperti yang digambarkan. Ini kerana kulit wajah kita amat berbeza. Satu perkara yang penting produk asli adalah tanpa bahan kimia. Apa sahaja yang asli memang sesuai untuk kita. Bedak sejuk adalah dibuat seratus peratus dari bahan asli. Gunalah tanpa was-was. Cara pemakaiannya memanglah tampak begitu comot. Memang amat memalukan untuk keluar dari rumah dengan memakai bedak sejuk. Oleh sebab itu kebanyakan pengguna lebih gemar memakai bedak sejuk pada waktu malam hingga membawa ke tidur.

Penggunaan bedak sejuk pada asalnya adalah untuk mendapatkan atau mengekalkan wajah yang cantik, licin dan mulus. Masalah jerawat dan jeragat dapat dirawat dengan penggunaan bedak sejuk secara berterusan. Jadikanlah bedak sejuk sebagai lulur atau masker. Jangan kedekut semasa menggunakan bedak sejuk. Ambil segenggam bedak dan campurkan dengan sedikit air supaya menjadi pekat. Pupukkan ke muka dan biarkan kering. Sebagai wanita yang mementingkan kecantikan wajah haruslah rajin dan sabar dalam merawat masalah kulit muka agar memperolehi wajah idaman.

Bedak sejuk dengan sendirinya mampu menjaga kulit dari dalam. Tidak perlu bahan bantuan. Ini kerana di dalam bedak sejuk terdapat pelbagai khasiat dan vitamin yang tersembunyi. Sekiranya berlaku kegatalan pada kulit ketika penggunaannya, itu hanyalah tindak balas yang terjadi di mana asid yang ada pada bedak yang sedang membaiki kulit kita dari dalam. Semua ini berlaku kerana kulit kita memiliki pelbagai bahan kimia yang ada di dalam krim muka yang kita telah gunakan bertahun lamanya. Percayalah, bedak sejuk yang dibuat secara tradisional lebih selamat dan suci.

No comments:

Post a Comment